KUALA LUMPUR: Kagum dengan kehebatan pelakon versatil Nabila Huda, bakat baharu Ariana Ryry secara terbuka menjadikan pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) itu sebagai rujukan utama untuk mengukuhkan tapak dalam industri seni tanah air.
Ariana atau nama sebenarnya Nurul Aina Adriana Musaidi, 24, berkata keupayaan Nabila Huda membawakan pelbagai watak menjadi pendorong utama untuk beliau terus memantapkan mutu lakonannya.
“Saya amat kagum dengan bakat Nabila Huda. Setiap watak yang dibawakannya sentiasa ‘sampai’ dan berkesan di hati penonton, sama ada babak air mata ataupun antagonis.
“Antara impian terbesar saya sejak melangkah ke industri ini adalah untuk bergandingan dengan beliau di layar perak. Jika ada peluang, saya memang teringin sangat nak berguru dengannya, saya mahu menjadi sehebat dia,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.Bakat baharu di bawah naungan pengurusan Rocketfuel Entertainment itu juga mengakui minat mendalam terhadap dunia lakonan sudah bertunas sejak kecil lagi.
“Sejujurnya, saya memang mahu berada di hadapan kamera sejak kecil lagi kerana seni lakon adalah jiwa dan minat utama saya. Namun, keluarga meminta untuk saya menumpukan pada pelajaran terlebih dahulu,” ujar pemenang tempat keenam pertandingan Dewi Remaja 2025 itu.

Ditanya mengenai watak idaman, pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa Kewartawanan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu mahu mencabar kemampuan fizikal serta emosinya menerusi naskhah bergenre aksi.
“Saya teringin melakonkan watak aksi yang memerlukan saya berlawan (bertarung) kerana karakter sebegini bukan sahaja mencabar, malah mampu melonjakkan profil seni saya. Saya juga bersedia mengikuti kelas seni pertahanan diri demi menjayakan watak,” katanya yang mencipta nama menerusi watak antagonis sebagai Tasya dalam drama vertikal (drama bersiri pendek dalam format menegak) ‘Ex Girlfriend Suamiku Delulu’.
Sedar akan persaingan sengit dalam dunia lakonan, Ariana juga aktif memanfaatkan platform media sosial seperti Instagram dan TikTok menerusi perkongsian kandungan berkaitan kecantikan serta fesyen untuk menyerlahkan kebolehan dirinya.
Beliau yang membesar di Kangar, Perlis, berkata penggunaan media sosial amat penting sebagai platform mempromosikan diri serta bakat kepada masyarakat dan pemain industri.
“Realiti industri seni ketika ini, banyak peluang berlakon diberi kepada mereka yang mempunyai bilangan pengikut yang tinggi di media sosial kerana keupayaan mereka menarik jumlah penonton yang tinggi bagi sesebuah drama atau filem,” katanya yang kini memiliki lebih 63,000 pengikut di Tiktok.

Ariana berkata beliau juga sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang kritikan membina demi meningkatkan mutu lakonannya.
Dalam pada itu, pelakon muda ini turut meluahkan rasa bertuah kerana mendapat bimbingan daripada pelakon senior seperti Aishah Atan yang pemurah ilmu, terutamanya dari segi teknik penyampaian dialog dan penghayatan watak.
Selain drama, wajah bakat baharu ini pernah menghiasi beberapa video muzik (MV) popular tanah air seperti Kampung Kita nyanyian Wani Kayrie dan Cuba Jadi Aku (Nadeera), serta projek MV kumpulan M-pop XONE menerusi lagu Aidilfitri Jangan Pergi dan Eyes On Me. – Bernama





