
BAU: Projek pembinaan Arena Sukan Bau yang bernilai RM7.99 juta kini telah mencapai 94 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember tahun ini.
Arena berkenaan bakal menjadi kemudahan sukan dan komuniti ketiga di Bau selepas Dewan Suarah Bau dan Mini Stadium Bau.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Harry Jinep berkata, projek tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bersama kontraktor BLM Engineering & Services Sdn. Bhd. sejak 6 Oktober 2023 dengan tempoh kontrak selama 20 bulan.

“Setakat ini, kemajuan fizikal telah mencapai 93.07 peratus. Arena Sukan Bau ini akan dilengkapi dengan tiga gelanggang futsal, enam gelanggang badminton, sebuah dewan serbaguna, gimnasium terbuka serta gelanggang tinju dan Muay Thai,” katanya semasa mengadakan lawatan tapak hari ini.
Menurut beliau, kemudahan ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan selain menyokong gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
Henry turut memaklumkan bahawa cadangan Fasa Kedua projek ini akan melibatkan pembinaan kelab rekreasi dan kolam renang santai untuk keluarga, selain kemudahan riadah lain seperti karaoke, snuker dan ruang makan.
Beliau yakin cadangan berkenaan akan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta kementerian berkaitan.

“Pembangunan Arena Sukan Bau ini adalah sebahagian daripada visi Greater Bau yang bertujuan meluaskan manfaat pembangunan ke kawasan di luar pusat bandar agar seluruh komuniti dapat menikmati kemudahan moden,” ujarnya.
Turut hadir Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi bersama pegawai dari Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED).
Oleh Norman B.