
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Borneo Restu Sdn Bhd atas sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui pemasangan arca ‘Lucky Cat’ di beberapa lokasi utama sekitar bandar raya Kuching.
Menerusi inisiatif CSR tersebut, sebanyak dua arca ‘Lucky Cat’ telah dipasang di kawasan Saradise, manakala masing-masing satu arca ditempatkan di Pejabat MBKS dan Taman Hui Sing, sekali gus menambah elemen tarikan visual serta menceriakan landskap bandar Kuching Selatan.
MBKS dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, memaklumkan bahawa pemasangan arca berkenaan bukan sahaja memperindah persekitaran bandar, malah turut berperanan sebagai mercu tanda baharu yang menarik untuk dinikmati oleh penduduk setempat dan para pelawat.

Kuching yang dikenali di peringkat antarabangsa sebagai ‘Bandar Kucing’ mempunyai identiti unik yang mencerminkan budaya, warisan dan penjenamaan pelancongan, dan kehadiran arca ‘Lucky Cat’ ini dilihat melengkapi identiti tersebut sebagai simbol hubungan istimewa bandar raya ini dengan kucing.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, inisiatif tersebut merupakan contoh kerjasama positif antara sektor swasta dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memperindah bandar serta mewujudkan persekitaran yang lebih ceria dan mesra komuniti.
“Usaha CSR seumpama ini bukan sahaja meningkatkan kualiti landskap fizikal bandar, malah menyemai rasa bangga serta tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kebersihan dan keindahan Kuching.
“Saya turut memuji keprihatinan Borneo Restu Sdn Bhd dan berharap inisiatif ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak rakan korporat untuk menyertai program CSR yang menyokong usaha mencantikkan bandar, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti,” katanya.

MBKS yakin kerjasama berterusan antara pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta mampu memperkukuh usaha menjadikan Kuching sebuah bandar raya yang bersih, menarik dan mempunyai identiti tersendiri yang membanggakan penduduk serta meninggalkan kenangan bermakna kepada para pengunjung.