ARAB SAUDI: Satu pasangan Jordan di Arab Saudi berasa gembira apabila terpilih untuk mengerjakan ibadat haji pada minggu depan.
Namun, permohonan yang ditolak mengerjakan ibadat itu pula telah membangkitkan satu kemarahan.
Buat pertama kali dalam sejarah moden, berjuta-juta jemaah haji di luar Arab Saudi dilarang daripada mengerjakan ibadat tersebut yang sebelum ini merupakan salah satu perhimpunan terbesar di dunia disebabkan peningkatan pandemik koronavirus (Covid-19).
Malah, sejumlah besar umat Islam bergegas mengemukakan permohonan sejurus ia dibuka di Makkah.
Beberapa pegawai Arab Saudi berkata, penduduk dari 160 buah negara telah bersaing dalam permohonan mengerjakan haji dengan ramai menyatakan ia sebagai satu pemilihan yang sukar.
Turut dipilih ialah Naseer iaitu seorang ekspatriat Nigeria yang berasa sangat gembira dan menganggapnya sebagai tiket emas untuk menunaikan haji.
Namun, laporan media tempatan menyatakan sekurang-kurangnya 10,000 umat Islam dibenarkan mengerjakan haji pada tahun ini.
Kementerian Haji Arab Saudi pula dibanjiri dengan sejumlah pertanyaan tentang permohonan mengerjakan ibadat tersebut di laman sosial Twitter.
Beberapa orang lagi tertanya-tanya jika terdapat slot untuk para diplomat, ahli perniagaan dan golongan elit diraja.
Pihak kementerian tidak memberikan reaksi kepada permintaan AFP untuk memberikan komen mengenai jemaah haji Arab Saudi dipilih daripada sejumlah pengamal perubatan dan anggota tentera yang pulih daripada Covid-19.
Bagi Arab Saudi pula, membenarkan ibadat haji tahun ini merupakan keputusan sukar yang diselangi dengan isu ekonomi dan politik.
Memilih bilangan kecil daripada sejumlah besar pemohon juga membangkitkan risiko kemarahan awam.
Walaupun berlaku pandemik Covid-19, kebanyakan jemaah haji menganggap adalah selamat mengerjakan ibadat itu pada tahun ini tanpa kesesakan umat Islam untuk pergi ke lokasi-lokasi keagamaan yang membahayakan kesihatan.
Malah, sebelum ini, jemaah haji terdedah pada sejumlah penyakit ketika mengerjakan ibadat tersebut.
“Sejumlah umat Islam mahu menunaikan ibadat haji pada tahun ini kerana ia lebih teratur berikutan jemaah haji yang berkurangan,” kata seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Karim.
Pihak berkuasa berkata, jemaah haji akan diperiksa sama ada dijangkiti Covid-19 sebelum mereka tiba di Makkah.
Mereka juga diwajibkan menjalani kuarantin sebelum dan selepas ibadat itu.
Jemaah haji juga dibekalkan dengan air zamzam Makkah yang dibotolkan dan batu-batu disteril untuk melontar jamrah. – AFP