
KUCHING: Pemain negara, Muhammad Aqil Faizal mencipta sejarah apabila muncul juara Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Antarabangsa Sarawak 2025 selepas pertembungan sengit menundukkan pemain berpengalaman England, Dominic Barrett pada saingan akhir, hari ini.
Atlet kelahiran Pulau Pinang yang mewakili pasukan Penang/PTBPP/MMBC itu membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 selepas menguasai kategori Open Division dengan penuh bergaya.
Barrett, yang merupakan antara pemain paling berpengaruh dalam arena boling profesional dunia, terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan hadiah RM10,000.
Tempat ketiga dimenangi Ryo Fukumitsu dari Jepun yang membawa pulang RM5,000 manakala rakan senegara Aqil, Ahmad Muaz Mohd Fishol dari pasukan kebangsaan menduduki tempat keempat dengan hadiah RM2,500.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Presiden Persatuan Boling Amatur Sarawak (ABAS), Sunny Si yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas kejayaan penganjuran kejohanan bertaraf dunia itu.
“Sepanjang seminggu ini kita menyaksikan aksi boling bertaraf dunia serta semangat kesukanan yang tinggi daripada peserta antarabangsa dan tempatan.
“Kepada semua atlet, jurulatih dan pegawai, terima kasih atas dedikasi anda. Kehadiran anda bukan sahaja menjadikan kejohanan ini kompetitif, tetapi turut memberi inspirasi kepada generasi muda,” katanya ketika berucap pada penutupan kejohanan tersebut hari ini.
Sunny turut merakamkan penghargaan kepada kementerian, Perbadanan Sukan Sarawak, Majlis Sukan Sarawak serta media tempatan dan antarabangsa kerana memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sarawak sebagai destinasi sukan, budaya dan pelancongan.
Beliau menutup ucapannya dengan tahniah kepada semua pemenang dan berharap kejohanan ini menjadi landasan kepada penganjuran lebih banyak acara antarabangsa pada masa depan.
Oleh Adele Rissa