
SIMANGGANG: Setelah kejayaan memenangi perlawanan pertama menentang Fuhai FT minggu lalu, skuad Aqib X Kampung Boy FC kini memburu tiga mata seterusnya apabila turun menentang BBE X Insuramu FC, 8.00 pagi esok di Kompleks Sukan Sri Aman.
Pengurus pasukan, Alfian Abu Bakar beliau mahu pasukannya tampil lebih agresif dan seterusnya meraih tiga mata penuh seterusnya pada aksi kedua Kejohanan Bola Sepak Liga Sri Aman bagi merebut Piala Datuk Francis Harden Hollis 2025.
“Misi untuk perlawanan esok, pasukan kami mahukan kemenangan mutlak dan dapatkan tiga mata.
“Saya percaya dan yakin semua pemain yang diturunkan nanti akan bermain berhabis-habisan untuk merealisasikan impian ini,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.
Alfian berkata skuadnya tidak menghadapi masalah kerana kesemua pemain bebas daripada kecederaan dan mereka bersemangat untuk beraksi minggu ini.

Dalam pada itu, pemain Aqib X Kampung Boy FC petang tadi telah mendapat suntikan semangat baharu dalam Liga Sri Aman 2025 apabila menerima tajaan jersi.
Majlis penyerahan jersi tersebut telah disempurnakan oleh Alfian kepada ketua jurulatih, Jaffary Hamdan yang berlangsung di Padang KPSU Lama Sri Aman.
“Saya berharap tajaan jersi ini akan memberikan suntikan semangat baharu buat barisan pemain Aqib X Kampung Boy FC, sekali gus juga meningkatkan semangat para pemain dalam mengharungi perlawanan sepanjang kempen liga itu berlangsung,” katanya.
Skuad Aqib X Kampung Boy FC diperkuatkan oleh bekas pemain Sarawak United, Mohd Iskandar Kumar dan bekas pemain Kuching City bawah 18 tahun, Mohd Haiqal.
Selain itu, perlawanan ketiga Ahad ini skuad Aqib X Kampung Boy FC yang dikendalikan oleh Jaffary Hamdan itu akan turun menentang LA United pada 3.30 petang di Kompleks Sukan Sri Aman.
Oleh Adi Safarman