
SIMANGGANG: Seramai 18 mangsa kebakaran daripada empat keluarga di Kampung Tengah, Jalan Stawang, yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian tengah malam tadi, menerima perhatian daripada pelbagai pihak yang tampil menghulurkan bantuan.
Antara yang terawal menghulurkan sumbangan ialah Pengurus Aqib Enterprise, Salbiah Sabeli bersama suami, Alfian Abu Bakar yang hadir petang tadi bagi menyerahkan bantuan berupa wang tunai kepada kesemua ketua keluarga mangsa kebakaran.
Menurut Salbiah, sumbangan tersebut diharap dapat sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga terbabit serta menjadi penyuntik semangat buat mereka untuk bangkit daripada musibah itu.
“Biarpun sedikit, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan sinar dan harapan baharu kepada mangsa.
“Saya juga menyeru agar lebih ramai pihak tampil membantu supaya nasib mereka dapat dibela sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan bantuan.
Salbiah turut menasihati mangsa agar terus tabah, sabar, dan kuatkan semangat dalam menghadapi dugaan yang menimpa.
Dalam kejadian sekitar 12.14 tengah malam tadi, enam buah rumah telah terlibat dengan empat daripadanya musnah sepenuhnya, manakala dua lagi mengalami kerosakan hampir 80 peratus.
Susulan kejadian itu, kesemua mangsa telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Seri Lemanak sekitar 12.00 tengah hari tadi bagi mendapatkan perlindungan dan bantuan awal.
Oleh Adi Safarman