
SAN FRANCISCO: Apple pada Selasa memaklumkan bahawa App Store miliknya melindungi pengguna dengan menghalang lebih AS$9 bilion transaksi penipuan dalam tempoh lima tahun lalu, termasuk lebih AS$2 bilion pada 2024 sahaja, menurut analisis tahunan App Store, lapor Xinhua.
App Store mencatat purata lebih 813 juta pengunjung setiap minggu.
Pada 2024, Apple menamatkan lebih 146,000 akaun pembangun (developer) atas kebimbangan penipuan, selain menolak 139,000 permohonan pendaftaran pembangun yang lain.
Apple juga menolak lebih 711 juta cubaan pendaftaran akaun pelanggan dan menyahaktifkan hampir 129 juta akaun pelanggan tahun lalu, bagi menghalang aktiviti berniat jahat daripada dijalankan oleh akaun-akaun berisiko.
Sepanjang bulan lalu sahaja, Apple turut menghalang hampir 4.6 juta cubaan untuk memasang atau melancarkan aplikasi yang diedarkan secara haram di luar App Store atau pasaran pihak ketiga yang diluluskan.
Sebelum sesebuah aplikasi dibenarkan berada dalam App Store, ia akan diteliti terlebih dahulu oleh pasukan Semakan Aplikasi Apple (App Review), yang menggabungkan semakan manusia dan proses automatik mengesan serta mengambil tindakan terhadap aplikasi yang berpotensi membahayakan pengguna.
Sepanjang 2024, lebih 7.7 juta aplikasi disemak, dan lebih 1.9 juta ditolak kerana gagal memenuhi piawaian Apple dari segi keselamatan, kebolehpercayaan dan pengalaman pengguna — termasuk pelanggaran privasi atau unsur penipuan.
Pada tahun yang sama, pasukan Semakan Aplikasi mengalih keluar lebih 37,000 aplikasi kerana aktiviti penipuan, menolak lebih 320,000 permohonan yang meniru aplikasi lain dan menolak 400,000 aplikasi yang melanggar privasi pengguna.
Apple turut mengesan hampir 4.7 juta kad kredit yang dicuri dan menyekat lebih 1.6 juta akaun daripada menjalankan transaksi semula.– Bernama-Xinhua