
BINTULU: Dua kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu semalam kerana disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak secara tidak sah di perairan Bintulu.
Kedua-dua kapal ditahan sekitar 10 batu nautika barat laut muara Sungai Kemena sekitar 4.25 pagi dan 5.00 pagi ketika rondaan oleh aset APMM Bintulu yang sedang melaksanakan Operasi Tiris 3.0 dan Op Permai 01/2019.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati sebuah kapal tangki sedang merapat di sisi sebuah lagi kapal tangki yang sedang bersauh, dipercayai sedang melakukan kerja-kerja pemindahan minyak diesel tanpa sebarang kebenaran sah.
“Tangkapan pertama melibatkan empat kru iaitu dua warga Indonesia termasuk nakhoda serta dua warga India berusia antara 27 hingga 46 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tangkapan kedua pula melibatkan sebuah kapal tangki yang dikendalikan empat kru iaitu seorang warga Indonesia, seorang warga Myanmar dan dua warga Vietnam berusia 25 hingga 48 tahun.

“Semasa pemeriksaan, kru warga Myanmar dan dua kru warga Vietnam gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.
Kedua-dua kapal bersama kesemua kru diiring ke Pusat Tahanan Kapal Tunda Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Akta Kastam 1967, Akta Petroleum (Langkah-langkah Keselamatan) 1984, Akta Kawalan Bekalan 1961, dan Akta Imigresen 1959/63.
Turut disita adalah minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 169,600 liter.
“Aktiviti pemindahan kargo di laut tanpa kelulusan adalah kesalahan serius yang boleh mengundang risiko keselamatan, pencemaran serta menjejaskan kedaulatan perairan negara,” kata Suffian.
Sebarang aduan atau maklumat kecemasan boleh disalurkan ke talian 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 yang beroperasi 24 jam.
Oleh Carolyne Utih