BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu menahan sebuah bot tunda yang disyaki beroperasi tanpa sauh di perairan Bintulu, semalam.
Pengarah Maritim Zon Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tunda itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari pada kedudukan 5.9 batu nautika barat laut Kuala Kemena ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 4.0.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 300 Ordinan Perkapalan Saudagar (Merchant Shipping Ordinance – MSO) 1952 kerana beroperasi tanpa sauh, yang merupakan antara kelengkapan keselamatan penting bagi sesebuah vesel.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot tunda itu dikendalikan empat kru, terdiri daripada seorang nakhoda warga tempatan, seorang kru warga Indonesia dan dua kru warga Myanmar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bot tunda bersama kesemua kru kemudian ditahan dan diiring ke Jeti Shin Yang sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, pematuhan terhadap keperluan keselamatan pelayaran merupakan tanggungjawab setiap pemilik, pengusaha dan pengendali vesel bagi mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan keselamatan nyawa di laut.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana vesel yang gagal mematuhi peraturan keselamatan dan undang-undang maritim negara,” ujarnya.
Beliau turut menyeru komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi peraturan pelayaran serta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang atau kecemasan di laut melalui talian 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544.



