APMM tahan bot tunda disyaki beroperasi dengan kru tidak mencukupi

Facebook
WhatsApp

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Zon Bintulu menahan sebuah bot tunda yang disyaki beroperasi dengan keanggotaan kru tidak mencukupi di perairan Kuala Kemena, petang semalam.

Pengarah Maritim Zon Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tunda berkenaan ditahan sekitar 12.10 tengah hari pada kedudukan tujuh batu nautika barat laut Kuala Kemena.

Menurutnya, penahanan dilakukan ketika aset Maritim Malaysia menjalankan Op TIRIS 4.0 dan Op PERMAI 01/2019.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Kaedah 12 Boat Rules kerana beroperasi dengan keanggotaan kru yang tidak mencukupi seperti yang dikehendaki oleh Pegawai Pelabuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Suffian berkata, bot tunda berkenaan dikendalikan tiga kru warga tempatan termasuk seorang nakhoda.

Katanya, bot tunda bersama kesemua kru kemudian ditahan dan diiring ke Jeti Shin Yang sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Beliau memberitahu, tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Maritim Malaysia memastikan vesel yang beroperasi di perairan negara mematuhi peraturan serta keperluan keselamatan ditetapkan.

“Komuniti maritim diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan prosedur keselamatan ketika menjalankan aktiviti di laut bagi mengurangkan risiko kemalangan serta mengelakkan tindakan undang-undang,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah, pelanggaran undang-undang atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544.

Oleh Carolyne Utih