TIMBALAN Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa (tengah) menunjukkan paket hablur kaca disyaki dadah jenis syabu yang dirampas di perairan Parit Raja, Pontian, pada 6.30 pagi, semasa sidang media semalam. • Foto BERNAMA
BATU PAHAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup keluar kira-kira 12 kilogram dadah disyaki syabu di perairan Parit Raja, Pontian, awal pagi semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Johor Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, rampasan pada 6.30 pagi itu merupakan hasil maklumat risikan melibatkan pergerakan sebuah bot nelayan asing yang mencurigakan, di perairan berkenaan.
Beliau berkata, sebuah bot APMM telah diatur gerak ke lokasi itu bagi melakukan pemantauan serta pengesanan, lalu terserempak dengan bot nelayan yang dikendalikan oleh dua lelaki.
“Apabila diarahkan berhenti, bot terbabit terus memecut laju menuju ke beting Parit Raja, Pontian.
“Sebaik saja bot itu berhampiran dengan kawasan daratan, kedua-dua individu berkenaan bertindak melarikan diri lalu meninggalkan bot tersadai di benteng batu, dengan keadaan tenggelam bahagian belakang,” katanya kepada pemberita di Zon Maritim Batu Pahat, di sini semalam.
Jelas Simon lagi, hasil pemeriksaan ke atas bot berwarna coklat tanpa nombor pendaftaran itu yang dipercayai milik nelayan asing, turut menemukan sepucuk pistol angin berisi tiga butir peluru serta satu telefon bimbit di dalam sebuah beg sandang.
Katanya, pihaknya juga menemui sebuah tong ikan berwarna oren mengandungi satu bungkusan beg plastik berwarna merah, yang berisi 12 paket hablur kaca disyaki dadah jenis syabu.
“Kesemua penemuan itu dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat. Kes akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api.
“Rampasan termasuk sebuah bot berukuran 6.4 meter panjang serta satu unit enjin model Yamaha 40 kuasa kuda, dianggarkan sekitar RM628,800. Dadah berkenaan dipercayai boleh digunakan oleh 60,000 penagih,” katanya. – Bernama