
PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memulakan misi membawa pulang kapal Ex-United States Coast Guard Cutter (Ex-USCGC) Steadfast dari Amerika Syarikat (AS), yang dijadualkan tiba di Malaysia pada November ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menerusi kenyataan berkata 46 anggota penguat kuasa APMM akan berlepas ke Baltimore, AS esok (18 Julai) bagi menjalankan misi tersebut.
Beliau berkata pasukan ini merupakan kru pertama bagi kapal berkenaan yang bakal menjadi aset baharu APMM sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara khususnya di perairan Laut China Selatan.
“Misi ini dianggap sebagai satu sejarah yang membanggakan bukan sahaja kepada agensi tetapi buat Malaysia keseluruhannya.
“Misi ini bukan sekadar pelayaran biasa. Ia simbol pengiktirafan antarabangsa kepada keupayaan dan profesionalisme APMM,” katanya.
Mohd Rosli berkata berdasarkan rekod, empat kru APMM telah berada di Baltimore sejak Mei lepas bagi menjalani latihan penyesuaian dan pemeriksaan teknikal ke atas kapal berkenaan sebagai persiapan awal sebelum pelayaran pulang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas kelulusan dalam proses penerimaan kapal ini daripada pihak US Coast Guard.
“Tanpa sokongan padu kerajaan, misi sebegini tidak akan menjadi kenyataan. Ini bukti bahawa kepimpinan negara sentiasa mendukung pengukuhan keselamatan maritim Malaysia,” katanya.
Kapal EX-USCG Cutter Steadfast ini memiliki saiz 64.14 meter panjang dan 10 meter lebar, serta mampu mencapai kelajuan hingga 18 knots.
Sementara itu, Mohd Rosli berkata menyambut baik kenyataan Menteri Dalam Negeri yang mahu penjawat awam mempunyai kompetensi dan kemahiran dalam menjalankan tugas di samping melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.
“Perkara tersebut perlu ada pada setiap penguat kuasa APMM. Ini kerana tanpa kompetensi dan kemahiran, aset agensi tidak dapat diuruskan dengan sebaiknya.
“Jika amanah tidak dijadikan teras utama maka perairan negara akan dipenuhi dengan ancaman jenayah maritim sekali gus membahayakan kepada negara,” katanya.– Bernama