


KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri merampas sebuah bot fiber disyaki disalahgunakan untuk aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Lawas, Lawas pada 22 Januari lepas.
Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata rampasan itu dilaksanakan kira-kira pukul 1.40 pagi susulan rondaan rutin pihaknya.
“Pemeriksaan ke atas bot tanpa kru dan nombor pendaftaran itu mendapati bot berkenaan membawa muatan disyaki seludup melibatkan 100 karton minuman keras pelbagai jenama dan 475 karton rokok putih pelbagai jenama dipercayai tidak bercukai.
“Kesemua barang rampasan yang dianggarkan hampir RM250,000 telah dibawa ke Kompleks Zon Maritim Miri untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana disyaki melakukan kesalahan menyeludup masuk barang larangan tanpa cukai.- Bernama