
KANOWIT: Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kanowit hari ini telah melakukan tinjauan di beberapa kawasan rendah yang dinaiki air di daerah ini.
Menurut Pegawai APM Sibu, Mohd Reduan Aini, faktor hujan di kawasan hulu sungai serta keadaan air pasang menyebabkan beberapa kawasan rendah di Kanowit dinaiki air.
Antara lokasi yang terjejas ialah di Rumah Minggu, Menalun Ulu Sungai Poi dengan paras air dilaporkan mencecah 0.45 meter di atas jalan.
Bagaimanapun, hasil pemantauan mendapati paras air beransur surut dan keadaan di kawasan terbabit berada dalam keadaan terkawal.
“Cuaca pada masa tinjauan dilaporkan cerah dan tiada ancaman serius kepada penduduk setakat ini,” katanya.
Beliau menambah, APM akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terutama di kawasan berisiko banjir.