
SRI AMAN: Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah (PKOB) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sri Aman melaksanakan rondaan pemantauan di beberapa lokasi berisiko banjir hari ini bagi memastikan keselamatan penduduk serta kesiapsiagaan pasukan penyelamat berada pada tahap optimum.
Rondaan yang dijalankan bermula 8.00 pagi hingga 4.00 petang itu diketuai oleh Sarjan Joseph Badar Walim bersama Koperal Fredrick Enjing Paung dan PBT Mohd Afiq Daniel.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang berkata, pemantauan dijalankan menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang dilengkapi peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan, kasut but, dan penyukat air.

“Pemeriksaan di Munggu Ridan mendapati keadaan cuaca baik dengan kedalaman air sekitar empat kaki, namun situasi keseluruhan terkawal. Tiada insiden banjir atau kecemasan dilaporkan setakat ini,” katanya.
Beliau turut menasihati penduduk agar terus berwaspada terhadap perubahan paras air sungai dan parit, terutama ketika musim hujan.

“Pasukan pemantauan akan terus berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan, dan logistik berada dalam keadaan baik untuk diatur gerak ke lokasi sekiranya diperlukan,” tambahnya.
Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi talian MERS 999 atau PKOB Sri Aman di 083-320973 sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan berkaitan banjir.
Oleh Adi Safarman