
SIMANGGANG: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sri Aman melaksanakan operasi penghantaran bekalan makanan kepada mangsa banjir di beberapa lokasi terjejas di Daerah Pantu, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang berkata operasi tersebut bermula seawal 9.30 pagi dengan pengambilan bekalan makanan di pasar raya Bandar Simanggang sebelum dihantar ke kawasan sasaran.
Menurut beliau, operasi berkenaan melibatkan lima anggota APM iaitu Sarjan Mejar Sprin Joe Musa, Lans Koperal Ngalai Lajan, PBT Abang Ameelruldin, PBT Mohd Afiq Daniel dan PBT Danster Nachang.

Selain APM, operasi itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Keselamatan dan Perlindungan Negeri Sarawak (UKPNS) serta Pejabat Daerah Pantu.
Beliau berkata sebanyak 174 pek makanan dibawa ke Pejabat Daerah Pantu sebelum diagihkan kepada penduduk terjejas banjir di beberapa rumah panjang dan kampung sekitar kawasan berkenaan.
“Sebanyak 54 pek makanan diserahkan kepada penduduk Rumah John Ade di Kampung Empaling, manakala 120 pek makanan diagihkan kepada penduduk Rumah Miah Munggu Ridan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, penghantaran seterusnya melibatkan Rumah Kechil di Kampung Isu Entawa dengan penyerahan sebanyak 47 pek makanan kepada penduduk terlibat sebelum pasukan bergerak semula ke Pejabat Daerah Pantu.
Leftenan Kamal berkata keseluruhan operasi menggunakan sebuah lori Hicom berjalan lancar dan selesai sepenuhnya pada 4.20 petang.
Oleh Adi Safarman