

Anggota APM Spaoh berjaya menangkap seekor ular cincin emas sepanjang kira-kira lima kaki yang ditemui di atas bumbung sebuah rumah di Kampung Bungin, pagi tadi. Foto: APM Spaoh
SPAOH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Spaoh berjaya menangkap seekor ular cincin emas sepanjang kira-kira lima kaki yang ditemui di atas bumbung sebuah rumah di Kampung Bungin, pagi tadi.
Menurut kenyataan APM Spaoh, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 11.25 pagi selepas seorang penduduk, Azman, terkejut melihat kelibat ular berwarna hitam ketika sedang mencantas pokok durian di hadapan rumahnya.
Susulan panggilan itu, empat anggota APM Spaoh yang diketuai Sarjan Noriza Japar bersama PBT Akmal Amirul Sakawi, PBT Sakawie Salleh dan PBT Mohd Shahrul Nasir segera bergegas ke lokasi sejauh 15 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Spaoh menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda.
Setibanya di lokasi, pasukan APM mengesahkan kehadiran seekor ular cincin emas di atas bumbung hadapan rumah pengadu.
Ular berkenaan berjaya ditangkap dengan menggunakan teknik menyepit dan menjerut, sebelum diserahkan untuk tindakan lanjut.
Operasi berkenaan selesai sepenuhnya pada 11.44 pagi, dan semua anggota yang terlibat dilaporkan selamat serta peralatan mencukupi digunakan sepanjang operasi.
APM menggesa orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya menemui haiwan berbahaya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Oleh Adi Safarman