
SPAOH: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Spaoh menjalankan pemantauan di kawasan berisiko banjir susulan hujan berterusan yang melanda daerah itu sejak awal pagi tadi.
Pada 8.00 pagi, pemantauan dilakukan di Jalan Simpang Berbuling dan hasil tinjauan mendapati paras air menunjukkan trend menaik walaupun keadaan masih terkawal.

Seramai empat anggota APM terlibat dalam operasi tersebut diketuai oleh Ahmad Zulfakar Ramlan bersama Muhd Syafiqen Musa, Sakawie Salleh dan Johan Abdul Samad.
Misi pemantauan turut disokong dengan kelengkapan logistik termasuk ambulans pacuan empat roda, penyukat air, kasut bot, baju hujan serta kelengkapan keselamatan lain.

APM Spaoh menegaskan pemantauan berkala akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan terkawal dan langkah awal dapat diambil sekiranya paras air terus meningkat.
Penduduk setempat juga disarankan agar sentiasa berwaspada serta segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Spaoh 083-473006 dan 083-473860 sekiranya berlaku sebarang kejadian luar jangka.
APM Spaoh menggesa kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat segera bagi memastikan keselamatan komuniti terjamin dan tindakan pantas dapat diambil ketika kecemasan.
Oleh Adi Safarman