


SPAOH: Skuad Pemantauan Monsun Timur Laut (MTL) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Spaoh melakukan rondaan dan tinjauan di beberapa kawasan berisiko banjir susulan fenomena air pasang besar mencecah paras 6.1 meter.
Pasukan pemantau Skuad Charlie yang diketuai Sarjan Kamarrul Badarudin meninjau keadaan di Kampung Hulu dan Kampung Hilir, Manggut selepas kedua-dua kawasan itu dinaiki air.
Kenaikan paras air berlaku apabila benteng yang menahan tekanan air pasang besar dipercayai gagal berfungsi sepenuhnya, menyebabkan limpahan air sungai ke kawasan rendah.
Situasi itu mengakibatkan laluan utama di kedua-dua kampung terbabit tidak dapat dilalui kenderaan ringan, dengan paras air dianggarkan setinggi satu hingga 1.5 kaki.



ANGGOTA APM Spaoh melakukan rondaan dan tinjauan di beberapa kawasan berisiko banjir susulan fenomena air pasang besar mencecah paras 6.1 meter di Kampung Manggut, hari ini. Foto APM Spaoh
Fenomena air pasang besar lazimnya dikaitkan dengan peningkatan risiko banjir di kawasan pesisir rendah, terutama ketika musim MTL atau ketika hujan lebat berterusan.
Pihak berkuasa turut menasihatkan penduduk agar berwaspada dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
APM Spaoh memaklumkan bahawa pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan perkembangan situasi direkodkan dengan tepat serta memaklumkan penduduk mengenai status terkini, khususnya sepanjang tempoh cuaca ekstrem dan musim banjir.
Oleh Adi Safarman