
SPAOH: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh berjaya menangkap ular sawa sepanjang 10 kaki yang ditemui di reban ayam milik penduduk di Kampung Hulu Spaoh awal pagi tadi.
Menurut kenyataan APM Spaoh, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada 4:00 pagi daripada seorang penduduk tempatan, dikenali sebagai Zamirul, yang mendengar bunyi bising di reban ayamnya.
Apabila diperiksa, beliau mendapati ular sawa sedang membelit ayam-ayamnya.
Bimbang akan keselamatan diri dan haiwan peliharaannya, beliau segera menghubungi pihak APM untuk mendapatkan bantuan.

Empat anggota APM Spaoh telah bergegas ke lokasi menggunakan kenderaan persendirian dan motosikal tiba sekitar 4.05 pagi.
Menurut laporan, ular sawa tersebut berjaya ditangkap menggunakan teknik menyepit dan menjerut tanpa sebarang kecederaan kepada penduduk atau anggota APM.
Kejayaan ini menunjukkan kepantasan dan profesionalisme anggota APM dalam menangani situasi kecemasan yang membabitkan haiwan berbahaya, sekali gus memastikan keselamatan masyarakat di Spaoh.
Oleh Adi Safarman