SPAOH: Kebakaran kebun di Jalan Bungin-Serembang, di sini, berjaya dikawal selepas anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Spaoh membantu pihak bomba dalam operasi pemadaman, petang tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor, berkata Pusat Kawalan Operasi Daerah APM Spaoh menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 2.50 petang.
Menurutnya, tiga anggota APM Spaoh digerakkan ke lokasi pada 2.55 petang dan tiba kira-kira 13 minit kemudian, iaitu pada 3.08 petang, dengan jarak perjalanan kira-kira 10 kilometer sehala.
“Setibanya di lokasi, anggota APM terus membantu lima anggota bomba yang turut berada di tempat kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi turut melibatkan sebuah jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), manakala APM menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda bersama tiga helmet keselamatan.

Katanya, api berjaya dikawal daripada terus merebak, namun sebahagian kebakaran masih aktif dan belum dapat dipadamkan sepenuhnya.
“Keadaan itu berlaku berikutan kekurangan sumber air di lokasi, sekali gus menyebabkan usaha pemadaman sepenuhnya mengambil masa,” katanya.
Operasi di lokasi ditamatkan pada 4.20 petang.
Operasi berkenaan dikendalikan tiga anggota APM Spaoh iaitu Sarjan Hasla Deli, Prebet Muhd Syafieqen Musa dan Prebet Sabrie Eddie, dengan bantuan pasukan bomba seramai lima anggota.
Oleh Adi Safarman





