

SIMUNJAN: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Simunjan melaksanakan pemantauan di beberapa kawasan berisiko banjir di daerah ini susulan hujan renyai yang berterusan, malam ini.
Menurut laporan pemantauan, operasi yang bermula pada 7.34 malam hingga 9.08 malam ini melibatkan dua anggota APM dengan menggunakan motosikal Modenas 110 bagi menilai paras air serta keadaan jalan di kampung-kampung terlibat.
Antara kawasan yang dipantau ialah Kampung Sual, Kampung Sekendu, Kampung Lot, Kampung Sageng, Kampung Keleka dan Kampung Nanas.


Di Kampung Sual, paras air direkodkan pada bacaan 2.22 meter dengan keadaan jalan hanya boleh dilalui oleh kenderaan besar, manakala Kampung Sekendu mencatatkan paras air 1.19 meter dan berada dalam keadaan surut serta boleh dilalui semua jenis kenderaan.
Pemantauan turut mendapati Kampung Sageng dan Kampung Keleka masing-masing mencatatkan paras air 1.14 meter dan 1.16 meter, juga dalam keadaan surut, sementara Kampung Lot berada pada paras air normal.
Sementara itu, di Kampung Nanas, paras air direkodkan setinggi 3.30 meter namun dilaporkan surut dan keadaan jalan masih selamat untuk dilalui oleh kenderaan kecil serta besar.


APM Simunjan memaklumkan bahawa keadaan keseluruhan di semua lokasi pemantauan adalah terkawal dan tiada sebarang insiden bencana atau kecemasan dilaporkan setakat ini.
Selain itu, tiada pemindahan penduduk dilakukan dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.
Pasukan pemantauan turut dilaporkan berada dalam keadaan selamat, dengan logistik berada pada tahap baik serta sentiasa bersedia untuk diatur gerak sekiranya diperlukan.
Orang ramai yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi talian MERS 999, PKOD Simunjan di talian 014-6560018 atau APM Simunjan di talian 082-805781.