


SIBU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sibu menyelamatkan seorang lelaki selepas kediamannya di Batu 7, Blok II, Jalan Ulu Oya dinaiki air sedalam 1.30 meter, petang tadi.
Pegawai APM Daerah Sibu, Mej (PA) Mohd Reduan Aini berkata, hujan lebat yang berterusan menyebabkan kawasan sekitar rumah serta bahagian dalam kediaman mangsa ditenggelami air.
“Mangsa berjaya diselamatkan menggunakan bot dan seterusnya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Jeriah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemantauan di kawasan berisiko banjir dijalankan melibatkan seorang pegawai dan empat anggota APM, bersama seorang pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan tujuh anggota.
“Semasa pemantauan dijalankan, keadaan cuaca dilaporkan hujan dengan status air pasang, dan kawasan yang ditinjau didapati dinaiki air,” jelasnya.
APM akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Oleh Akun Giman