

SIBU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sibu menjalankan pemantauan paras air di beberapa lokasi sekitar bandar ini susulan fenomena air pasang tinggi Sungai Rajang, awal pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Sibu, Mejar (PA) Mohd Reduan Aini berkata, tinjauan dilakukan bermula 12.22 tengah malam dan selesai kira-kira 12.45 pagi dalam keadaan cuaca yang baik.
Menurut beliau, hasil pemantauan mendapati paras air di Jalan Belian dan Jalan Merlin 4 berada pada paras buku lali di atas jalan, namun keadaan masih terkawal dan tidak menjejaskan pergerakan penduduk setempat.
“Di Jalan Khoo Peng Loong pula, paras air didapati masih normal tanpa sebarang limpahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, secara keseluruhan keadaan di kawasan bandar Sibu berada dalam keadaan baik dan terkawal, namun pemantauan berterusan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin.
APM Daerah Sibu turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, khususnya ketika berlaku air pasang tinggi dan hujan berterusan.
Oleh Tarani Lanting