
KABONG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah dijemput untuk menyertai program Gotong-Royong MADANI yang berlangsung meriah di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Moh Sessang, semalam.
Program ini bertujuan memperkukuh kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan dan komuniti, melibatkan penyertaan anggota RELA, Komuniti Kampung Sessang, para pendidik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta penduduk setempat.
Pasukan APM yang hadir dengan kekuatan anggota telah memainkan peranan aktif dalam pelbagai aktiviti gotong-royong seperti pembersihan kawasan sekolah, parit, asrama, bilik darjah, stor dan kerja-kerja mengecat.
Kehadiran mereka bukan sahaja membantu melancarkan program, malah menyuntik semangat kepada para sukarelawan yang terlibat.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, menzahirkan penghargaan atas jemputan tersebut dan menyifatkan penyertaan APM sebagai satu penghormatan serta peluang berharga untuk terus berbakti kepada masyarakat.
“Program seperti ini amat penting dalam memupuk semangat kesukarelawanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Kami di APM sentiasa komited menyokong inisiatif yang membawa manfaat kepada komuniti,” katanya.
Menurut beliau, penglibatan dalam program sebegini selaras dengan tanggungjawab sosial APM untuk mendekati masyarakat serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti setempat.
“Ia juga membuka ruang kepada anggota kami untuk menyumbang tenaga dan kepakaran dalam suasana harmoni yang dipenuhi semangat kerjasama,” tambahnya.
Oleh Adi Safarman