SELANGAU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangau terus giat menjalankan pemantauan di kawasan berisiko banjir sekitar persisiran Sungai Batang Oya susulan hujan lebat yang melanda daerah ini.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangau, Leftenan (PA) Luke Douglas Dongum, berkata pemantauan itu dilakukan bagi memastikan situasi kekal terkawal di kawasan terjejas akibat kenaikan paras air.
“Kami telah menjalankan pemantauan di beberapa lokasi berisiko, antaranya Jambatan Sungai Batang Oya yang kini mencatatkan trend paras air menurun.
“Jalan Tabau, iaitu jalan utama menuju ke Nanga Tajam dan Nanga Tamin, turut diperiksa dengan paras air dilaporkan sekitar 0.19 meter di atas jalan rendah.
“Pemantauan juga dilakukan di Rumah Tamat, Nanga Tabau, yang mencatatkan paras air kira-kira 0.50 meter di atas jalan rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tinjauan yang dilakukan pagi ini turut mendapati jalan rendah menuju ke Sungai Alat dan Nanga Tamin masih ditenggelami air, menyebabkan ia tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan buat masa ini.
“Sebahagian penduduk di Hilir Sungai Batang Oya kini menggunakan sampan sebagai pengangkutan alternatif melalui sungai menuju ke Pekan Stapang.
“Bagaimanapun, penduduk rumah panjang, sekolah, serta klinik di kawasan tebingan hilir Sungai Batang Oya tidak terjejas, dan keadaan di lokasi masih terkawal,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting