

DIMUSNAHKAN… Sarang tebuan berjaya dimusnahkan oleh pasukan APM Sarikei. Foto APM Sarikei
SARIKEI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei telah memusnahkan sarang tebuan di pohon nipah, Lorong 1, Jalan Dabai, malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pengadu sekitar 11.42 pagi semalam.
“Pasukan APM Sarikei bergerak ke lokasi pada 7.55 malam bagi menjalankan operasi memusnahkan sarang tebuan.
“Setibanya di lokasi, operasi memusnahkan sarang tebuan di tepi rumah pengadu dijalankan oleh pasukan APM Sarikei,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, sarang tebuan berjaya dimusnahkan dengan teknik membakar.
“Sarang tebuan dianggarkan sebesar tayar kereta jenis Perodua Kancil dimusnahkan dalam tempoh lebih kurang 23 minit.
“Operasi memusnahkan sarang tebuan selesai sepenuhnya pada 8.31 malam,” katanya.
Oleh Earl Anek