

LATIHAN….Anggota APM Sarikei dan Meradong menjalankan latihan latihan taktikal dan komunikasi di kawasan sungai. Foto APM Sarikei
SARIKEI: Menjelang monsun timur laut (MTL), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei dan Meradong meningkatkan kesiapsiagaan pasukan melalui latihan taktikal dan komunikasi di kawasan sungai, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata latihan persediaan tersebut dilaksanakan sebagai langkah awal menghadapi MTL yang dijangka berlaku dari bulan ini hingga Mac 2026, melibatkan potensi hujan lebat berterusan, banjir, angin kencang, air pasang besar dan ribut petir.
“Latihan bermula 10.00 pagi tersebut memberi fokus kepada kecekapan anggota dalam operasi penyelamatan air serta koordinasi maklumat ketika amaran cuaca dikeluarkan.
“Ia penting untuk memastikan kekuatan aset, kompetensi anggota dan tindakan operasi berada pada tahap optimum demi keselamatan komuniti setempat,” katanya ketika dihubungi.


LATIHAN….Anggota APM Sarikei dan Meradong menjalankan latihan latihan taktikal dan komunikasi di kawasan sungai. Foto APM Sarikei
Tambahnya, latihan yang dijalankan di Sungai Rajang dan Sungai Meradong tersebut turut menilai tindak balas bilik gerakan, keberkesanan komunikasi antara pasukan di darat dan sungai serta kecekapan anggota APM mengendalikan aset bantuan.
“Antara aset yang digunakan dalam latihan termasuk bot aluminium, bot dinghy (P012) dan bot fiber (F215).
“Alhamdulillah, latihan ini berjaya dilaksanakan sepenuhnya, mencapai objektif yang ditetapkan dan berjalan lancar tanpa sebarang kecemasan.
“Kesiapsiagaan pasukan berada pada tahap yang baik dan kami akan terus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh MTL,” katanya.
Oleh Earl Anek