
SARIKEI: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarikei berjaya menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap di luar tingkap tingkat dua sebuah bangunan di Jalan Nenas semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 10.05 pagi.
“Pengadu memaklumkan terlihat seekor kucing berada di luar tingkap tingkat dua bangunan dan bimbang akan keselamatan kucing tersebut sebelum menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Sarikei.
“Susulan maklumat diterima, seramai empat anggota APM Sarikei digerakkan ke lokasi dan tiba pada 10.20 pagi,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, setibanya di lokasi, anggota APM menjalankan penilaian situasi sebelum melaksanakan operasi menyelamat.
“Hasil operasi, seekor kucing jantan yang terperangkap berjaya diselamatkan dalam keadaan selamat.
“Keseluruhan operasi berjalan lancar dan selesai sepenuhnya pada 10.39 pagi tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya.
Oleh Earl Anek