
SARIKEI: Seramai 71 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dari Daerah Sarikei, Meradong, Julau dan Pakan menyertai latihan bulanan gabungan Oktober 2025 yang diadakan di Kuarters Gunasama Sarikei, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata program latihan tersebut bertujuan memperkukuh kemahiran anggota APM dalam aspek pengendalian, penyelenggaraan serta ketahanan fizikal melalui pelbagai aktiviti simulasi dan pertandingan berbentuk taktikal.
“Latihan bulanan ini merupakan salah satu pendekatan penting bagi memastikan kesiapsiagaan anggota APM sentiasa berada di tahap tertinggi.
“Ia memberi peluang kepada anggota APM dari empat daerah untuk saling bertukar pengalaman dan memperkukuh kerjasama antara pasukan ketika berhadapan situasi sebenar di lapangan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, antara pengisian latihan kali ini termasuklah pertandingan tarik tali antara Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) serta latihan pengendalian dan penyelenggaraan peralatan operasi (PPPO) seperti penggunaan mesin gergaji berantai untuk kerja pemotongan dan pembersihan halangan.
“Aktiviti seperti PPPO bukan sahaja menguji kemahiran teknikal anggota APM, malah memperkukuh disiplin dan semangat kerja berpasukan.
“Seramai lima jurulatih terlibat dalam mengendalikan sesi latihan tersebut, yang berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden kecemasan dilaporkan sepanjang program berlangsung,” katanya.

Tambahnya, latihan tersebut adalah bagi memastikan setiap anggota APM sentiasa bersedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa bagi melaksanakan tugas menyelamat dan bantuan kecemasan.
“Kita mahu setiap anggota APM memahami peranan masing-masing dengan baik, kerana kesiapsiagaan adalah kunci utama dalam operasi pertahanan awam,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek