
SARATOK: Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PDPA) Saratok terus komited memperkasa tahap kesiapsiagaan anggota apabila menganjurkan Latihan Pasukan Bulanan Januari 2026 yang memberi penekanan kepada empat silibus utama melibatkan kemahiran asas dan penyelamatan.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, latihan tersebut telah dilaksanakan di Perkarangan PDPA Saratok, bermula 7.00 pagi hingga 6.00 petang.

Seramai 37 anggota terlibat dalam latihan berkenaan yang terdiri daripada pegawai, pegawai kontrak KP1 dan 35 anggota lain-lain pangkat (LLP).
Katanya, latihan kali ini memfokuskan kepada empat silibus utama iaitu kawad kaki, pertolongan cemas, rawatan dan balutan, serta kaedah resusitasi kardiopulmonari (CPR) yang menjadi teras penting dalam memastikan anggota sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi kecemasan.
“Pendedahan berterusan terhadap silibus ini amat penting bagi meningkatkan tahap disiplin, kecekapan serta keupayaan anggota APM dalam memberikan bantuan awal dan menyelamatkan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, latihan pasukan bulanan bukan sahaja berfungsi sebagai platform pengukuhan kemahiran sedia ada, malah menjadi medium untuk menilai tahap kesiapsiagaan anggota selaras dengan peranan APM sebagai agensi barisan hadapan dalam pengurusan bencana dan kecemasan di peringkat komuniti.
Latihan seumpama ini dijangka akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan anggota APM sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Oleh Adi Safarman