SARATOK: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok berjaya mengatasi kejadian pokok tumbang yang menghalang laluan utama di kawasan Ulu Luau, Awik, awal pagi tadi.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 6.31 pagi berhubung sebatang pokok tumbang yang menghalang jalan dan menjejaskan pergerakan penduduk setempat.
“Susulan panggilan tersebut, tiga anggota APM Saratok segera digerakkan ke lokasi pada 6.33 pagi dan tiba kira-kira 15 minit kemudian untuk menjalankan operasi pembersihan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan yang diketuai oleh anggota bertugas telah menjalankan penilaian keselamatan di lokasi sebelum memulakan kerja pemotongan dan pengalihan pokok menggunakan peralatan yang sesuai, termasuk dua unit gergaji rantai.


Anggota yang terlibat dalam operasi tersebut ialah Prebet Holleyness Alek, Prebet Jeffery Kedit Kayan dan Prebet Izzuddin Hakim Ahmad Sufian.
Menurut Nur Athirah, operasi berjalan lancar dan berjaya diselesaikan sepenuhnya pada 7.20 pagi.
Beliau berkata pokok tumbang yang menghalang laluan telah dialihkan, manakala kawasan sekitar dibersihkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Hasil tindakan segera anggota di lapangan, jalan tersebut kini boleh dilalui semula oleh semua jenis kenderaan tanpa sebarang halangan,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada, terutama ketika cuaca tidak menentu, serta segera menghubungi Bilik Gerakan APM jika berlaku sebarang kecemasan atau insiden yang boleh mengancam keselamatan awam.
Oleh Adi Safarman




