
SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Saratok berjaya memusnahkan sarang tebuan tanah yang dikesan di kediaman di Taman Muhibah, di sini, semalam.
Menurut kenyataan media APM Saratok, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar 5.00 petang berhubung penemuan sarang tebuan di bawah pancuran air rumah pengadu yang berpotensi mengancam keselamatan penghuni.
Susulan laporan itu, seramai tiga anggota APM telah digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada 6.38 petang bagi menjalankan pemeriksaan serta tindakan lanjut.
“Kehadiran sarang tebuan tanah telah disahkan di lokasi. Anggota APM berjaya memusnahkannya menggunakan kaedah semburan bahan kawalan serangga dengan selamat dan terkawal,” menurut kenyataan tersebut.

Selain menjalankan operasi pemusnahan, anggota bertugas turut memberikan nasihat keselamatan kepada pengadu dan penduduk sekitar agar sentiasa peka terhadap keadaan persekitaran, khususnya melibatkan ancaman hidupan berbisa.
Operasi berkenaan dilaporkan selesai sepenuhnya pada 6.48 petang tanpa sebarang insiden tidak diingini.
APM Saratok menegaskan komitmen berterusan pasukan itu dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti setempat melalui tindakan pantas dan berkesan.
Orang ramai yang berdepan situasi kecemasan dinasihatkan untuk segera menghubungi Talian Terus APM Saratok di 083-436094 atau talian kecemasan umum 999.
Oleh Adi Safarman