
SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok berjaya memusnahkan satu sarang penyengat lalat yang ditemui di sebatang pokok mangga di Kampung Bunga Raya, Saratok selepas menerima aduan daripada orang awam petang semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengadu pada 5.25 petang yang memaklumkan kewujudan sarang penyengat lalat berkenaan serta memohon bantuan APM untuk memusnahkannya.
Beliau berkata, sepasukan tiga anggota APM kemudian digerakkan ke lokasi pada 7.34 malam dan tiba seminit kemudian bagi menjalankan operasi pemusnahan.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas mendapatkan maklumat daripada pengadu sebelum melakukan pemeriksaan dan mengesahkan terdapat sarang penyengat lalat sebesar tapak tangan orang dewasa pada pokok mangga dengan ketinggian kira-kira lima kaki,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, operasi dijalankan oleh Prebet Clarence Ambas Renang, Prebet Domsen Enggul Mota dan Prebet Fakhrullah Azhad Daud.
Katanya, anggota menggunakan galah besi bersama teknik pembakaran bagi memusnahkan sarang serta menghapuskan penyengat berkenaan dengan selamat.
Operasi turut dibantu dengan penggunaan peralatan keselamatan termasuk pakaian khas, topi keledar, sarung tangan, lampu suluh dan bahan semburan serangga.
Nur Athirah berkata, operasi selesai pada 8.00 malam, dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan sepanjang operasi berkenaan dan sarang penyengat lalat berjaya dimusnahkan sepenuhnya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi APM atau pihak berkuasa berkaitan sekiranya mengesan kewujudan sarang serangga berbisa di kawasan kediaman bagi mengelakkan sebarang kejadian yang boleh mengancam keselamatan penduduk.
Oleh Adi Safarman