

SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok berjaya memusnahkan sebuah sarang lebah madu yang ditemui di Taman Muhibah menerusi satu operasi khas yang dijalankan petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 5.18 petang berhubung kewujudan sarang lebah yang dipercayai boleh mengancam keselamatan penghuni sebuah rumah.
Beliau berkata, sepasukan anggota APM segera digerakkan ke lokasi dan tiba beberapa minit kemudian sebelum menjalankan pemeriksaan serta penilaian awal.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah sarang lebah madu sebesar tapak tangan pada sebatang pokok berhampiran rumah pengadu. Operasi pemusnahan kemudian dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, sarang lebah tersebut berjaya dimusnahkan menggunakan teknik semburan racun serangga dan operasi berakhir tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
Katanya, keadaan di lokasi sepanjang operasi adalah selamat dan terkawal, selain tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan anggota mahupun orang awam.
Sehubungan itu, Nur Athirah menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap kewujudan sarang lebah atau serangga berbisa di sekitar kediaman serta segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya mengesan situasi yang boleh mengancam keselamatan.
Operasi tersebut melibatkan empat anggota APM Daerah Saratok dengan bantuan peralatan khas bagi memastikan kerja-kerja pemusnahan sarang lebah dilaksanakan secara selamat dan berkesan.
Oleh Adi Safarman





