


SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok melaksanakan pemantauan Monsun Timur Laut (MTL) 2025 di beberapa kawasan hotspot sekitar Sessang dan Saratok bagi menilai paras air serta risiko banjir susulan fenomena air pasang besar.
Menurut kenyataan APM Sarawak, pemantauan turut dilengkapi peralatan keselamatan dan operasi seperti jaket keselamatan, baju hujan, alat penyukat air, lampu suluh dan kasut but bagi memastikan pemeriksaan di kawasan rendah dapat dilaksanakan secara selamat.
Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kawasan rendah di Sessang dan Saratok mengalami limpahan air berikutan fenomena air pasang besar 6.2 meter, namun keadaan masih terkawal dan tidak menjejaskan pergerakan trafik.
Cuaca semasa operasi dilaporkan hujan renyai-renyai, manakala tiada kecemasan atau insiden berbahaya direkodkan sepanjang rondaan dijalankan.
APM Saratok memaklumkan bahawa pemantauan berkala akan diteruskan sepanjang musim MTL sebagai langkah kesiapsiagaan bencana, termasuk memberi maklumat awal kepada penduduk sekiranya berlaku peningkatan paras air.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa serta melaporkan sebarang kecemasan melalui talian MERS 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Saratok di 083-436094.
APM Saratok menegaskan komitmen mereka untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti sentiasa terjamin sepanjang musim monsun.
Oleh Adi Safarman