

SARATOK: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok telah mengambil tindakan segera selepas menerima laporan mengenai kejadian tanah susur di Sekolah Kebangsaan (SK) Kabo Hilir, di sini, hari ini.
Menurut Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan daripada orang awam bernama Stanley pada 1:20 petang memaklumkan berlaku tanah susur di bahagian belakang kelas sekolah terbabit.
“Anggota kami bergerak ke lokasi pada 1:23 petang dan tiba pada 1:50 petang. Kejadian tanah susur berlaku di kawasan belakang kelas dan bilik guru, namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dapam satu kenyataan kepada media hari ini.
Empat anggota APM yang bertugas, termasuk Holleyness Alek, Izzul Islam Abdul Rani, Stanley Lewis Simon dan Clarence Ambas Renang, memastikan keselamatan dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sebelum memulakan operasi.
Mereka menggunakan parang, helmet keselamatan, sarung tangan, dan memasang pita keselamatan amaran bagi menghalang pelajar dan kakitangan melalui kawasan terjejas.
“Selain memasang pita keselamatan, kami juga memaklumkan pihak sekolah supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap kemungkinan tanah susur susulan.
“Sepanjang operasi dijalankan, keadaan berada dalam kawalan dan tiada kemalangan berlaku,” tambah Leftenan Nur Athirah sambil menambah operasi selesai pada 2:10 petang.
Kejadian ini sekali lagi menekankan kepentingan pemantauan kawasan berisiko tanah susur, terutamanya di sekitar institusi pendidikan, bagi memastikan keselamatan pelajar dan warga sekolah.
Oleh Adi Safarman