

PEMANTAUAN BANJIR… Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sebuyau menjalankan pemantauan di kawasan terjejas banjir di Kampung Stika dan Kampung Sungai Ijok. Foto APM Sebuyau
SEBUYAU: Beberapa kawasan di daerah ini masih berdepan situasi banjir berikutan paras air yang belum menunjukkan penurunan ketara setakat pemantauan awal pagi tadi.
Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sebuyau, Kampung Stika merekodkan paras air sekitar 0.30 meter dan kekal pada tahap statik tanpa sebarang tanda penurunan.
Sementara itu, Kampung Sungai Ijok mencatat paras air sekitar 0.20 meter dengan penurunan yang berlaku secara perlahan.
Keadaan tersebut menyebabkan semua laluan di kedua-dua kawasan berkenaan tidak dapat dilalui oleh kenderaan dan orang awam, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk setempat.
APM Sebuyau telah bergerak ke lokasi terjejas dengan bantuan Ketua Kampung Stika menggunakan bot persendirian bagi menjalankan pemantauan serta memastikan keselamatan penduduk terus terpelihara.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan berisiko banjir dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Sebarang kecemasan boleh menghubungi APM Sebuyau di talian 013-911 3937 atau 999. Pihak berkuasa akan terus memantau perkembangan situasi dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.