
PETRA JAYA: Angkatan Pertahanan Awam (APM) memberi tumpuan terhadap penilaian keperluan aset dan operasi di Sarawak bagi memperkukuh keupayaan respons kecemasan di negeri ini.
Ketua Pesuruhjaya APM, Mohammad Abiddin Abd Rahman berkata, faktor keluasan dan geografi Sarawak memerlukan pendekatan lebih strategik bagi memastikan setiap operasi dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.
“Keutamaan kita ketika ini adalah menilai keperluan operasi serta kelengkapan supaya pegawai dan anggota dapat melaksanakan tugas dengan lebih efisien, khususnya di kawasan luas dan sukar diakses.
“Keperluan aset seperti kenderaan dan bot amat penting bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyampaian watikah dan pemakaian pangkat APM Sarawak di Pusat Pertahanan Awam Negeri Sarawak hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata ibu pejabat kini sedang menjalankan kajian menyeluruh bagi menilai keperluan aset di seluruh negara dengan memberi perhatian kepada negeri yang memerlukan sokongan tambahan.

Katanya, penambahan aset yang bersesuaian akan membantu mempercepatkan pergerakan pasukan ke lokasi kejadian serta meningkatkan kecekapan pengurusan operasi di lapangan.
Sementara itu, Mohammad Abiddin memaklumkan APM turut merancang untuk menjadikan Sarawak sebagai salah satu pusat latihan dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan masyarakat menghadapi bencana.
Katanya, perancangan tersebut kini dalam peringkat penyesuaian permohonan peruntukan dan dijangka menjadi sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang APM.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata APM kini sedang membangunkan pelan hala tuju 100 tahun secara holistik yang merangkumi aspek tenaga kerja, struktur organisasi, latihan serta integrasi data.
Tambah beliau, penubuhan pusat latihan itu juga akan berperanan sebagai platform meningkatkan kefahaman komuniti mengenai tindakan awal ketika berdepan situasi kecemasan.
Majlis tersebut turut menyaksikan anggota APM Sarawak menerima watikah pelantikan serta pemakaian pangkat baharu sebagai pengiktirafan terhadap perkhidmatan mereka.
oleh Adele Rissa