
MUKAH: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Mukah telah menjalankan pemantauan di beberapa kawasan berisiko banjir di daerah ini susulan cuaca mendung dan hujan berterusan sejak kebelakangan ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mukah, Kapten (PA) Zuriza Sharkawi berkata pemantauan itu dilaksanakan semalam dari 4.00 petang hingga 12.00 tengah malam melibatkan Kampung Penakub Ulu, Kampung Tutus Ulu dan Kampung Tutus Hilir.
“Pemantauan mendapati paras air di ketiga-tiga kawasan berada dalam keadaan pasang, namun masih terkawal dan belum mencapai tahap membimbangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, di Kampung Penakub Ulu, keadaan cuaca mendung dengan paras air pasang dan terdapat timbunan sampah sarap serta kayu hanyut, justeru penduduk dinasihatkan agar terus berwaspada.
Sementara itu, di Kampung Tutus Ulu, paras air sungai dilaporkan pasang namun aliran air kekal lancar tanpa sebarang halangan dan keadaan masih selamat.
Beliau berkata keadaan lebih dipantau di Kampung Tutus Hilir apabila hujan menyebabkan air sungai melimpahi Jalan Dewan Kampung Tutus Hilir dengan paras air mencecah 0.08 meter, namun situasi masih berada dalam keadaan selamat.

“Keseluruhan lokasi pemantauan berada dalam keadaan selamat dan berjaga-jaga. Pasukan pemantau juga berada dalam keadaan baik dengan logistik mencukupi serta siap siaga untuk sebarang kemungkinan,” katanya.
APM Mukah akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin, terutama sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.
Oleh Tarani Lanting