

MATU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Matu berjaya menyelamatkan dua warga emas yang terjejas banjir dalam dua operasi berasingan di daerah ini hari ini, membuktikan kesiapsiagaan pasukan itu dalam menghadapi kecemasan ketika bencana.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Matu Kapten (PA) Azamsah Apearal berkata, operasi pertama dilaksanakan sekitar 3.00 pagi melibatkan pemindahan seorang wanita warga emas berusia 80 tahun, Halimah Hassan, dari Kampung Sekaan Besar yang dilanda banjir.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 3.00 pagi bagi membantu mangsa yang memerlukan rawatan susulan di Hospital Daro berikutan keadaannya yang berisiko akibat paras air yang meningkat di kawasan kediaman.


“Anggota digerakkan ke lokasi pada 3.06 pagi dan tiba dua minit kemudian. Mangsa kemudiannya dipindahkan dengan selamat menggunakan bot sebelum dibawa ke lokasi selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam operasi kedua pada pagi yang sama, APM Matu sekali lagi digerakkan bagi membantu seorang lagi warga emas, Berda Mahron, 71, di Kampung Bawang, Matu, yang dilaporkan berada dalam keadaan sedar namun lemah badan.
Menurut Azamsah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.39 pagi sebelum anggota bergerak dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Matu pada jam 8.43 pagi dan tiba di lokasi pada 8.58 pagi.
“Mangsa berjaya dipindahkan ke dalam ambulans dan dibawa ke Hospital Daro untuk rawatan lanjut. Operasi selesai sepenuhnya pada 10.35 pagi,” katanya.
Beliau menegaskan APM Daerah Matu sentiasa komited memberikan bantuan segera kepada masyarakat khususnya golongan berisiko seperti warga emas ketika situasi kecemasan dan bencana alam.
Oleh Tarani Lanting