APM Marudi pantau kawasan dinaiki air susulan hujan berterusan

Facebook
WhatsApp
JALAN ke Rh Gerinang Logan Tasong Marudi belum dapat dilalui kenderaan kerana masih dinaiki air ke paras yang tinggi. Foto : APM Marudi.

MARUDI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Marudi giat menjalankan pemantauan di kawasan yang masih dinaiki air susulan hujan berterusan sejak 8 Disember lalu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri berkata, lima kawasan masih terjejas setakat hari ini, iaitu Jalan Rumah Philip, Tanjung Upar (0.98 meter), Rumah Philip, Tanjung Upar (0.60 meter), Rumah Gerinang, Logan Tasong (0.96 meter), Jalan Rumah Vincent, Tanjung Upar (0.22 meter) dan Kampung Padang Kerbau berhampiran sungai (0.60 meter).

Menurut beliau, beberapa kawasan lain seperti Kampung Narum, Kampung Ridan, Kampung Dagang dan Kampung Kerbau turut terjejas sebelum ini, namun keadaan di kawasan tersebut telah surut sepenuhnya.

APM memantau di kawasan Kampung Ridan Marudi. Foto : APM Marudi

Mirwan Shah menjelaskan, hujan lebat yang berterusan sejak 8 Disember lalu serta limpahan air pasang laut menjadi punca utama beberapa kawasan rendah dinaiki air.

Operasi pemantauan diketuai oleh Sarjan (PA) Siti Naquiah Abdullah bersama Pbt. (PA) Syed Nasir Syed Alwi dari Skuad Alpha, yang dibahagikan kepada dua kumpulan bagi melancarkan tugasan pemantauan.

Oleh Jiku Juguong