
FOTO: APM Marudi
MARUDI: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Marudi turun padang melakukan pemantauan di Kampung Melinau Mulu hari ini susulan kejadian banjir yang menyebabkan paras air naik setinggi 7 hingga 10 kaki.
Menurut Pegawai APM Daerah Marudi, Mirwan Shah Masri, kejadian itu berlaku akibat air pasang dan limpahan air hujan berterusan sejak Jumaat lalu.
“Saya telah mengarahkan sepasukan anggota diketuai Sarjan Siti Abdullah bersama empat anggota lain untuk meninjau situasi di kawasan yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain Kampung Melinau Mulu, dua lagi rumah panjang turut dilaporkan terjejas akibat hujan lebat malam tadi, iaitu Rumah Nawan Ding di Ulu Long Watt dengan paras air mencecah lima kaki, dan Rumah Julan Karang di Hilir Long Watt dengan paras air sekitar tiga kaki.
Mirwan berkata, setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, namun pihaknya terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.
“Trend air dilihat semakin menaik, manakala cuaca juga masih mendung. Penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan agar sentiasa peka dan bersedia untuk berpindah jika perlu,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa keadaan masih terkawal dan selamat, namun memerlukan kerjasama masyarakat untuk bertindak segera jika keadaan bertambah buruk.
Oleh Jiku Juguong