MARUDI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marudi berjaya memusnahkan sarang serangga jenis penyengat di kawasan Muzium Kubu Hose, di sini, petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi menerima panggilan kecemasan daripada orang awam, Syed Muhd Zafran Zainuddin Syed Nasir Alwi, pada 6.30 petang yang memaklumkan terdapat sarang penyengat berukuran kira-kira 0.05 meter × 0.10 meter di dalam kotak suis lampu jalan.
“Susulan itu, sepasukan anggota APM diketuai Lans Koperal (PA) Kamil Tahir bersama Prebet (PA) Zamri Bujang dan Prebet (PA) Mohd Rizzuan Mahli segera digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari PKOD Marudi,” katanya.
Beliau berkata, pasukan APM berjaya memusnahkan sarang penyengat itu menggunakan semburan racun serangga sebelum memastikan kawasan berkenaan selamat.
Operasi tamat sepenuhnya pada 8.50 malam.
Oleh Jiku Juguong

