
MARUDI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Marudi menerusi Skuad Alpha berjaya memusnahkan satu sarang serangga di atas pokok berhampiran rumah seorang pengadu di Kampung Narum, di sini, malam tadi.
Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung penemuan sarang serangga itu pada 8.30 malam. Susulan itu, Skuad Alpha telah digerakkan ke lokasi dari PKOD.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt (PA) Mirwan Shah Masri berkata, sarang serangga berkenaan dikenal pasti sebagai lebah madu bersaiz sekitar 0.6 meter × 0.3 meter.
“Sarang tersebut berjaya dimusnahkan dengan kaedah pembakaran serta menggunakan semburan racun serangga,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi memusnahkan sarang serangga itu diketuai oleh PA Siti Naquiah Abdullah dan dibantu tiga anggota lain iaitu Pbt (PA) Syed Nasir Syed Alwi, Pbt (PA) Mohd Zairulasri Johari serta Pbt (PA) Mohd Ridzuan Mahli.
Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada 10.00 malam.
Oleh Jiku Juguong