
MARUDI: Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi menerima laporan berkaitan kes sarang serangga di Rumah (Rh) Ansie Sungai (Sg) Arang Marudi pada 5.00 petang semalam.
Sebaik menerima laporan tersebut empat anggota Pertahanan Awam (APM) Marudi diketuai Sarjan (PA) Siti Abdullah bergerak ke lokasi pada 5.02 petang menggunakan jalan darat dan air menggunakan perahu orang kampung lebih kurang 23 kilometer dari PKOD.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi Lt (PA) Mirwan Shah Masri berkata PKOD menerima laporan kecemasan daripada orang awam berhubung kes sarang serangga tersebut yang bersarang di celah dinding rumah pengadu.
Katanya, anggota APM Marudi melakukan pengoperasian dan berjaya memusnahkan sarang serangga jenis tabuan tanah berukuran lebih kurang dua tapak tangan dewasa dengan semburan ridset.
Selesai menjalankan tugas APM Marudi bergerak balik ke PKOD pada 9.49 malam.
Oleh Jiku Juguong