
MARUDI: Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marudi giat menjalankan pemantauan di beberapa lokasi yang dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Seramai tiga anggota dari Skuad Alpha diketuai Sarjan (PA) Siti Naquiah Abdullah bersama Pbt. (PA) Mohd Zairyul Johari dan Pbt. (PA) Mohd Rahimie Ramlie terlibat dalam operasi pemantauan tersebut.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri, berkata antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Dagang Marudi, Kampung Padang Kerbau tepi sungai, Jalan Kebun Nenas dan Rumah Jackson Ulu Ridan Marudi.
Beliau menjelaskan setakat ini tiada pusat pemindahan sementara dibuka, namun menasihatkan penduduk di kawasan terlibat agar sentiasa peka, berhati-hati dengan keadaan banjir dan segera berpindah sekiranya keselamatan terancam.
Tambah beliau, keadaan masih terkawal dan selamat.
Oleh Jiku Juguong