
Foto APM Limbang.
LIMBANG: Seorang penduduk bertindak pantas menghubungi anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Limbang sejurus menyedari dinding rumahnya menjadi sarang tebuan tanah di Kampung Lubuk Lasas, malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Kapten (PA) Jumaat Akasas berkata, sepasukan anggota yang diketuai Koperal (PA) Nurul Najanadhirah Hadri bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 34 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Limbang sebaik menerima panggilan kecemasan pada 9.14 malam.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan menjalankan pemeriksaan dan mendapati sarang tebuan tersebut berada di dinding rumah pengadu. Sarang tebuan tanah yang bersaiz hampir sebesar tayar pacuan empat roda tersebut berjaya dimusnahkan menggunakan kaedah semburan racun perosak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi berkenaan berakhir pada 11.35 malam selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat.