
LIMBANG: Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Limbang memanjat setinggi enam meter untuk memusnahkan sarang tebuan sebesar tayar Kancil di rumah seorang penduduk di Kampung Reda, Jalan Kubong, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Leftenan (PA) Jumaat Akasas, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai sarang serangga itu pada 5.42 petang.
“Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota diketuai Koperal (PA) Nurul Najanadhirah Hadri bergegas ke lokasi yang terletak 24 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Limbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Jumaat, setibanya di lokasi, anggota APM berjumpa dengan pengadu untuk mengesahkan keberadaan sarang dan membuat tinjauan. Mereka mendapati sarang tebuan itu berada di dinding rumah pada ketinggian sekitar enam meter.
Sarang berkenaan, yang dikenal pasti sebagai tebuan kuning, berjaya dimusnahkan menggunakan semburan racun serangga.
Oleh Adeng Edrus